Sunday, January 30, 2011

15 dan lagi

Entah kenapa, aku jadi semakin susah hati bila pengikut makin bertambah.

Dan blog aku semakin terdedah.

Aku rasa, aku akan mula menulis bila aku sudah kembali lupa bahawa ada yang membaca.

Atau bila kalian sudah lupa bahawa blog aku ini wujud pun.

Bila itu...aku tak pasti.

Bual

Seorang kakak ku berkata,

Kalau kita buat baik, kita tak boleh beritahu orang. Menimbulkan syirik khafi.

Kalau kita buat jahat, pun tak boleh beritahu orang. Membuka pekung di dada sendiri.

Maknanya, kalau kita buat apa-apa pun, diam-diam sendiri. Kan?

Aku:......Hmm...Betul lah itu.

P/s: Syirik khafi adalah riak, ujub dan takbur di mana riak adalah mengharapkan sanjungan, ujub adalah kagum dengan diri dan takbur adalah menunjuk-nunjuk.

Thursday, January 27, 2011

Sam Tsui

I never really posted any video. But he's too breathtaking to ignore. So, enjoy.

Wednesday, January 26, 2011

Ibu

Bilamasa jari aku digenggam erat tangan kecil dan jemari halus bayi, aku jadi tersentuh.

Aku tenung lama-lama tangan kecilnya yang hanya mampu memuatkan sebatang jari aku untuk digenggam.

Aku tersentuh kerana aku teringat. Bahawa aku pun pernah sekecil ini. Kemudian dibesarkan sehingga tapak tangan aku sudah sama besar dengan Umi punya.

Masa kecil, kalau mak tiada di sisi, menangis, merengek. Tak mahu ditinggal.

Tapi sekarang?

Kita yang tinggalkan mereka.

Yang lebih dahsyat adalah mereka yang sanggup memukul ibu sendiri.

Lupakah mereka? Jari-jemari mereka pernah sekecil itu?

Tapak tangan yang dihayunkan ke badan ibu mereka itu pernah mengenggam erat satu jemari ibu.

Pernah...

Dan manusia itu memang selalu lupa.

Gemuk

Hahah. Tajuk agak melampau. Tapi ini sebenarnya entri tentang binatang.

Bilamasa aku jalan dalam rumah, dan terserempak dengan kucing atau arnab peliharaan aku, mulut aku akan automatik sebut,

"Hey, gemuk"

Walaupun mereka tak gemuk sekalipun, aku tegur dengan ayat itu.

Barangkali untuk mendoakan. Ahah.

Ini kira macam panggilan manjalah untuk haiwan peliharaan aku.

Jangan aplikasikan pada manusia. Lain jadinya. ;)

Black Swan

Kita sudah terlalu biasa dengan jalan yang disuakan kepada kita, hingga apabila ada yang berbeza, kita mudah menjadi skeptikal.

Kerajaan menetapkan, kanak-kanak yang umurnya 6 tahun sudah perlu bersekolah tadika. Dan untuk hampir semua manusia, perkara itu berlaku dalam diari hidup mereka. Tapi memang wujud beberapa peratus manusia yang tidak berpeluang. Atas banyak sebab, aku simpati. Kerana tadika waktu yang paling gembira untuk aku. (walaupun masa kecil banyak menangis tak nak pergi.haha)

Hampir setiap daripada kita melanjutkan pelajaran ke sekolah rendah. Tapi, ada yang tidak. Dan untuk itu juga, aku simpati. Kerana pada aku, waktu sekolah rendah adalah waktu aku mula mengenal dunia. Cikgu. Sistem. Sukan. Dan lagi.

Yang mana sudah ke sekolah rendah, hampir semuanya meneruskan ke sekolah menengah. Bagi yang tidak, atau terhenti separuh jalan, aku simpati. Mana tidak? Di sini aku belajar banyak perkara. Terlalu banyak. Sampaikan aku akan kaget bilamasa disuakan kepada aku hakikat mereka terlepas apa yang aku ada.

Kita mudah skeptik dengan manusia yang tak bersekolah. Tanya siapapun.

Tapi kita lupa, Nabi Muhammad S.A.W tak pandai membaca dan menulis pun.

Dan aku tahu, pasti ada yang baik daripada apa yang terlepas itu.

Kita selalu simpulkan hidup dengan pergi sekolah, universiti, kerja dan kahwin. Anak-anak, cucu barangkali. Dan akhirnya mati.

Padahal kita lupa untuk ingat. Takdir itu wujud. Siapa boleh janji yang kita akan dapat masuk ke Universiti? Siapa yang boleh janji kita akan dapat kerja sebaik sahaja degree? Siapa boleh janji kita akan dapat berkahwin pun iaitu ADA ke orang yang akan sudi? Hahah. Dan yang paling penting, siapa boleh janji kita akan dapat zuriat?

Ahah.

Kita nampak hidup macam satu kitaran yang sempurna. Tapi tiada siapa yang berani mengaku pun dia akan hidup lagi esok hari.

*keluh

Dah tahu, kenapa masih leka lagi?

Aku menulis ini, kerana berkenalan dengan seseorang yang sekolah menengahnya terhenti pada awalan. Dan aku tertanya-tanya, bagaimana jalan hidupnya kiranya bukan seperti yang biasa?

Madu

Aku sedar sesuatu. Malam semalam.

Terdapat banyak peringkat dalam berkawan. Dan aku betul-betul maksudkan KAWAN. Sila buka kamus dewan ya.

Ok,

Mulanya, kau kenal. Memang janggal kalau hanya ada kau dan dia untuk berbual.

Kemudian, sudah boleh lepak sama-sama dan buat topik tanpa kejanggalan awal perkenalan.

Bila semakin rapat, kau suka cerita masalah dan hal peribadi pada kawan kau ini.

Seterusnya, kau akan berkawan dengan rapat sehingga suatu saat kau akan bergaduh dan benci mereka sungguh-sungguh. Kerana tiada hubungan yang tiada perselisihan.

Dan bila tamat peringkat ini, baru kau jadi kawan yang sebenar-benar kawan. Yang dunia akhirat memang dialah kawan kau. Yang mana semua berita tergempar tentang kau, dia mesti tahu dulu.

Sama juga adik beradik. Kau pernah benci mereka sungguh-sungguh. Tapi elok juga kemudiannya. Dan selepas itu, kau rapat sehingga perkataan sedarah daging itu benar-benar menjunjung maksudnya.

Kerana manisnya sesuatu amat terasa selepas menelan yang pahit.

Aku percaya. Bahawa kau tak akan benar-benar kawan sehingga kau pernah menongkah arus dengan mereka. Kerana selepas itu baru kau dapat lihat, siapa yang cukup kuat untuk bertahan. ;)

Entri ini entri khas untuk Cik Ameeratul Balqis.

Nama

Aku tak pasti kenapa aku suka mula entri dengan 'aku'.

haha.

Dan aku tak pasti mengapa. Tapi aku sangat suka dengar mana-mana manusi memanggil nama aku. Suka bila nama aku disebut. Nama betul akulah...
Ahah.

Tapi kalau mak aku yang melolong kerana ada tuntutan yang ingin diminta semasa aku sedang menaip? Adeh~

Mungkin sebab aku rasa nama aku sedap disebut. Lebih-lebih lagi pada mulut orang lain.

Hahah. Dah mula merapu.

Makcik

Dalam bulan lepas, aku dan nenek duduk di bangku hospital menanti lif yang lambat. Nenek aku yang ramah mula menegur makcik yang duduk di sebelahnya, bertanyakan itu dan ini.

Aku hanya melihat.

Dalam perbualan mereka, tersentuh topik sakit lutut yang menjadi penyakit normal buat manusia yang umurnya meningkat.

Yang membuat aku tersengih-sengih dan menahan ketawa adalah kata-kata makcik tersebut.

Katanya, "Lainkali, solat jangan minta nak panjang umur. Kalau panjang umur tapi sakit-sakit badan buat apa? Lainkali minta nak sihat".

Hahah.

Baik makcik. Saya akan ingat.

Tuesday, January 25, 2011

Simpati

Binatang adalah makhluk yang menjadi tempat aku bermanja. Aku lebih mengada daripada mereka. Walau tak dipanggil, aku datang mengendong dan mencium.

Ahah. Aku sangat sayang mereka.

Tapi, marah aku membuak apabila melihat hati perut yang semakin pupus dalam diri manusia.

Sudah banyak binatang yang dizalimi. Dan aku, tak pernah punya hati untuk melihat.

Sedangkan yang dirakam pun sudah berlambak, bayangkan yang tidak.

Ah~ aku tak mahu fikir.

Sungguh. Aku tak mampu untuk mengharungi walaupun suku daripada video penderitaan binatang tersebut. Hati aku semacam dirobek-robek secara literal.

Aku mahu menangis meski hanya memikirkan hal tersebut.

Ya Allah, tak punya rasa kasihankah? Mempermainkan hidupan lain sebegitu rupa? Membunuh, memukul, menyakitkan mereka?

Memang dasar hati batu.

Marah yang meluap-luap, mencetuskan harap agar kau rasa kelak apa yang kau buat pada binatang itu.

Sungguh aku harap.

Biar kau berteriak sehingga pecah anak tekak kau.

Biar... Biar... Biar...

hjfwq;oiureabfNEQiucxlkjsfhi

Kau memang sampah.

Hingusan

Aku tak pernah mampu jadi yang lain daripada aku. Bukan perkara sebegini tak pernah berlaku. Cumanya, bilamasa ia terjadi, aku akan merasakan tak keruan dan hidup semacam tak tenteram setiap hari. Seperti ada yang kurang dalam diri.

Misalnya waktu zaman aku belum matang dahuulu. Aku celaru sentiasa. Semuanya tak pernah sempurna. Hingga tahun berikutnya, aku pilih untuk lari daripada semua yang bukan aku itu, baru tenang hadir.

Aku bukan manusia yang pandai bergaya. Dan aku tak akan pernah pandai. Dalam hal itu aku sangat pasti.

Kerana bukan sekali, tetapi sudah berkali-kali aku cuba mengenakan pakaian yang berbeza daripada biasa. Hasilnya, ketidakselesaan sepanjang aku melangkah.

Aku pernah cuba untuk suka apa yang rakan-rakan aku suka. Dan sekali lagi, usaha aku gagal.

Malah, laman web sosial juga aku cuba wujudkan. Kerana semua yang sebaya dengan aku pasti ada. Masih... hati aku tak mampu untuk terima.

Tetapi, anehnya, aku masih tak rasa aku kenal siapa aku.

Monday, January 24, 2011

Kerja

Aku rasa aku suka hidup sebagai pelajar.

Kau tak perlu tunggu untuk hari cuti. Kau boleh relaks bila-bila kau suka. Ahah.

Kalau kerja, setiap hari kerja. Benda yang sama. Tak pernah habis.

Dan cuti kau, seminggu sekali saja.

Balik rumah, orang lain seolah-olah tak wujud lagi dalam dunia kau. Yang ada cuma KAU dan KATIL.

Seolah-olah mati.

Selama-lamanya

Aku kagum dengan sikap seorang pembantu perawat hospital di sini.

Dia...sangat ramah.

Mesra dan ceria sentiasa. Senyuman tak lekang daripada bibir.

Dan aku yang merenung pun terfikir.

Manusia macam inilah yang aku mahu jadikan teman hidup. ;)
Aku rasa, aku suka menulis sini kerana tiada telinga yang sudi mendengar celoteh teori aku. Maka aku taipkan, simpan untuk bacaan sendiri dan orang-orang yang mahu.

Ok, mari mula.

Aku merupakan manusia yang tak mampu untuk mengikut perancangan tanpa dipaksa.

Contohnya, jadual waktu. Kalau di sekolah kena pandai-pandai sendiri pergi ke kelas-kelas tertentu, aku pasti aku

Sunday, January 23, 2011

Puisi

(kerana itu perlunya penulisan. manusia itu selalu lupa)

Suatu masa dahulu, aku pernah malu. Dengan minat aku terhadap puisi.

Dan sekarang, aku masih ada sekelumit rasa itu.

Aku selalu menjulang diri sebagai manusia yang sukar difahami. Bukan kerana mahu rasa berbeza. Tapi, aku sendiri pun tak pasti sama ada aku kenal siapa sebenarnya aku.

Aneh? Ahah. Memang aneh.

Baru sebentar tadi aku membaca coret puisi aku yang lama. Dan aku cukup terpukul dengan sikap optimis budak hingusan itu.

Cita-citanya melangit.

Semangatnya tak pernah putus.

Sentiasa percaya bahawa adanya jalan keluar untuk setiap kebuntuan.

Dan aku yang sudah mahu meningkat umurnya bermimpi.

Ah, aku mahu kembali begini. Sungguh.

Friday, January 21, 2011

Berulang

Insomnia aku kembali. Barangkali memang ditakdirkan burung hantu aku ini. ;)

Thursday, January 20, 2011

Hitori

Hidup sendiri langsung tak menyeronokkan. Kau bangun pagi, tenung dinding sambil berlawan dengan keinginan untuk lena semula.

Kalau ada teman, dia akan jerit pada telinga kau "Woi, bangunlah! Dah pukul 12!".

Hidup sendiri, langsung tak menyeronokkan. Kau masuk bilik air, tenung wajah dalam cermin. Berdiri bawah air selama yang mungkin.

Kalau ada teman, dia akan ketuk pintu bilik air dan jerit "Cepatlah! Orang lain pun nak mandi juga!"

Ahah... Aku di rumah. Tapi rasa seakan-akan di tempat asing. Sendirian...

Barangkali ini puncanya aku begitu tertekan.

*keluh
Aku tak biasa coretkan hal yang benar-benar peribadi di sini. Tapi... Ah, mana lagi aku mahu tulis? Hari-hari aku akhir-akhir ini... Sentiasa aneh. Kerana aku tak dapat mengenalpasti masalah sebenar. Hanya merasa akibat daripadanya. Aku tertekan. Puncanya? Satu tanda soal yang cukup besar.

Memang selalu begini. Meski waktu aku bersekolah, aku akan merasakan sakit pada dada dan kesukaran untuk menarik nafas menyusul. Ia akan berlangsung untuk beberapa minit. Dan aku kerap selsema. Baru-baru ini pula, batuk-batuk.

Waktu sekolah dulu, aku dibawa ke klinik untuk mendapatkan nasihat doktor. Katanya, aku tertekan. Disuruh aku tidur dan relaks. Pada masa itu juga, aku tak tahu punca tekanan aku. Hanya merasa akibat daripadanya.

Aku tertanya-tanya. Apa teruk sangatkah tekanan yang aku alami sehingga mendesak tubuh aku untuk turut merasa kesakitan emosi itu? Dahsyat sangatkah sehingga mengundang kesakitan fizikal? Sedangkan aku sendiri kurang pasti puncanya.

Aku asyik mengulangi bahawa aku tak tahu punca tekanan ini kerana aku benar-benar mahu tahu. Walaupun sudah 17 tahun mengenali diri ini, aku masih tak mampu untuk kenal pasti komplikasi-komplikasi yang berlaku. Aku tak tahu kenapa beberapa hari lalu, aku murung sepanjang hari. Kenapa

Wednesday, January 19, 2011

Belajar memandu

Bukan aku sengajakan.

Keretanya kecil. Kancil.

Dimuatkan pula dengan 4 remaja.

2 pasang lelaki dan perempuan.

Dan malang bagi aku, manusia yang sama jantinanya dengan aku lebih saiznya. Maka beliau ditempatkan di hadapan.

Perjalanan pulang memaksa aku bersebelahan dengan manusia tak sama jantinanya dengan aku.

Resah sepanjang perjalanan ke rumah.

Isy~

Patutlah kahwin itu menyempurnakan separuh agama.

Mana boleh tahan kalau begini setiap hari. Boleh gugur iman.

Aduh~

Tuesday, January 18, 2011

Danial

Ahad lalu aku terlihat anak buah aku. Dia berpenyakit jantung berlubang. Kasihan. Umur baru mencecah 4 tahun rasanya. Dia punya penyakit itu sejak lahir. Anak angkat. Asalnya anak luar nikah hasil zina dua manusia yang asing dalam hidupnya.

Sepupu aku yang tak mampu untuk melahirkan, mengambil beliau sebagai anak angkat. Meski hidupnya kedengaran tragis, budak kecil itu kelihatan ceria sepanjang masa. Bibirnya sedikit kebiruan dek jantung yang lemah. Tapi dia kuat. Tetap gagah dengan semangat untuk hidup.

Dalam hati, aku cuma berdoa.

Panjangkanlah umurnya.

Aku mahu lihat dia berbasikal.

Aku mahu lihat dia berseluar biru.

Malah, aku mahu lihat dia mencapai ketinggian setinggi aku.

Ahad lalu, aku terlihat dia. Mengajuk orang bersolat.

Mengangkat takbir.

Sujud.

Salam...

Meski tak sempurna, dia buat aku sedar.

Dalam diri setiap manusia, ada Islam. Ada rasa ingin berTuhan.

Fitrah...

Itu fitrah manusia.

Kerana itu manusia zaman Paleolotik pun punya agama walaupun tidak betul.

Biarpun tak punya Nabi yang memberitahu akan perlunya beragama dan mengajar mereka tentang agama Hanif, mereka tetap punya agama.

Barangkali yang direka sendiri.

Kenapa?

Kerana itu fitrah. Allah memang ciptakan kita begitu.

Kerana dalam hati semua orang adanya Islamlah manusia akan resah tatkala melakukan dosa.

Kenapa?

Kerana sudah ditetapkan Allah begitu.

Apabila semakin jauh daripada Allah, hati tak tenteram.

Kenapa?

Kerana sudah ditetapkan Allah begitu.

Dan apabila memohon doa dengan bersungguh-sungguh dan bertawakal, hati jadi tenang. Rasa selamat datang. Air mata berjujuran dan rasa puas menyusul.

Kenapa?

Walhal lihatnya seakan-akan berdialog dengan diri sendiri. Merayu pada jari. Merintih pada kulit.

Justeru, kenapa semua itu kita rasa?

Kerana dalam hati semua adanya Islam.

Dan kita percaya. Allah itu wujud.

Allah itu sedia.

Allah itu Maha Mengasihi.

Allah itu Maha Mengasihani.

Meskipun ada yang mengatakan diri sebagai atheis. Muhlid.

Semuanya hidup tak pernah lengkap. Hati tak pernah tenang.

Cuba kau carikan aku seorang yang gembira.

Tiada. Tiada barang seorangpun yang mampu gembira...

Tanpa Tuhan dalam hatinya. Itu aku percaya.

Thursday, January 13, 2011

Awam

Lihat wajah kiri kanan di perhentian bas. Siapa tahu apa yang ada di sebalik wajah-wajah kosong itu? Apa dapat terlihat retak dan pecah hati-hati mereka yang sudah kembali ditampal dengan tangan sendiri? Kita tak mampu untuk nampak meski sebesar lubang yang wujud dalam diri roh mereka. Sedangkan parut yang pernah merobek tangan mereka pun kita tidak mampu untuk kesan kerana tersorok dek baju.

Aku sentiasa tertanya-tanya. Apa kisah di sebalik wajah-wajah manusia ini? Apa hari ini hari lahir mereka? Apa mereka pun punya kisah seperti aku? Masih punya ibu bapakah? Adakah mereka akan pulang ke rumah dan mandi dan ketawa sama keluarga?

Soalan. Penuh dengan soalan. Apa agaknya? Yang membawa mereka berdiri di sebelahku pada hari ini. Di tempat ini. Perhentian bas ini.

Aku tertanya-tanya.

Dadah?

Ubat selsema memberi sensasi mengantuk dan mamai kepada aku. Bagi orang yang sering tidak mampu untuk tidur, perasaan itu sangat menyenangkan. Tapi... cukup menjengkelkan.

Kerana aku benar-benar rasa mahu tidur. Sedangkan waktu dan tempat tak sesuai. Maka, aku terawang-awang dalam rasa yang menggantung aku antara realiti dan fantasi.

Tubuh aku longlai, memaksa minda untuk lena. Tapi aku lihat jam. Ah, pukul 5. Mana boleh tidur waktu selepas Asar.

Alahai~

Malam, lekas bertandang. Aku mahu mengembara ke alam mimpi.

Tuesday, January 11, 2011

Latar

Latar belakang aku... Yang comel ini... Dah tak boleh dipakai. Uwaaa~

Sunday, January 9, 2011

Bauan

Aku pun kurang pasti kenapa. Tapi...aku...err... Alah pada bau minyak wangi. Aku alah pada minyak wangi sepertimana Superman alah pada Kryptonyte hijau. Ia buat aku pening. Bersin. Dan lemah.

Tapi tak semua. Aku alah kepada sesetengah bau yang masih belum aku dapat kenal pasti. Pernah sekali, kawan aku sembur minyak wangi pada badan mereka dan aku terus bersin.

Tapi aku paling alah satu bau ini. Bau yang memang ramai orang selain aku pun barangkali alah juga. Bau ini adalah bau rokok. Ya, aku tahu. Tak berniat nak tujukan pada sesiapa pun. Cuma mahu menulis.

Bila masa aku terbau rokok, sistem badan aku dengan pantas menyuruh komponen dalam hidung aku untuk menyumbat hidung aku agar tiada bau yang sedemikian masuk lagi ke dalam badan. Maka aku kebiasaannya akan mengalami selsema. Dan selsema tersebut menjadi lebih teruk sekiranya aku msih menghidu bau rokok tersebut.

Buat masa sekarang ini, aku sedang rasa seperti ingin termuntah. Dan tekak menjadi tidak selesa dek terbau minyak wangi ambi pure dalam kereta untuk jangka masa yang lama.

Maka aku konklusikan. Minyak wangi adalah hadiah terakhir yang patut dipertimbangkan untuk disuakan kepada aku.

Haha.

Ungu


Oh, rindu zaman aku rendah dan boleh baring terlentang untuk tidur dalam kereta kancil.

Friday, January 7, 2011

Bola


Ok, mungkin entri kali ini sedikit pelik memandangkan aku tak pernah cerita berkenaan orang terkenal. Tapi hari ini, ya. Aku tergerak untuk cerita tentang seorang pemain bola. Penjaga gol lebih tepat. Kerana kekacakkan beliau yang macam pelakon Korea atau Jepun, aku sangat positif bahawa ramai perempuan kenal dengan wajah beliau. Tetapi, yang membuat aku tertarik untuk menulis tentang dia bukanlah disebabkan kekacakkan jauh sekali tentang skill hebat beliau.

(sebab aku bukan tengok pun Malaysia vs Indonesia tempoh hari)

Tujuan aku menulis ini adalah untuk mengumumkan perasaan terkejut aku.

Dengan wajah yang putih dan mata yang sepet, aku terus buat andaian bahawa beliau berbangsa Cina. Tapi alangkah terkejutnya aku apabila Kelantan berlawan dengan Negeri Sembilan tempoh hari, dan Kelantan telah menang, beliau terus sujud syukur di atas padang.

Ya. Beliau sujud syukur. Maka aku yang marah kerana Kelantan menang (sebab aku sokong Negeri Sembilan) terus sejuk apabila melihat perbuatan beliau itu. Iyalah. Aku tak sangka pula dia Islam. Alahai~

Tapi yang paling penting, dia buat aku kagum. Sedangkan kita pun, bersyukur macam mana sekalipun segan dan malu-malu nak sujud syukur di khalayak ramai. Atas karpet pun malu. Encik Khairul Fahmi Che Mat ini. Ha, atas rumput! Satu stadium jadi saksi sekali dengan penonton di rumah. Terpegun sekejap aku tengok. Dan aku pula yang jadi malu.

Maka untuk itu, aku dedikasikan salutasi ini untuk beliau.

Cayalah Encik Khairul Fahmi. Wa tabik sama lu. ;)

Thursday, January 6, 2011

Saja - Sengaja - Mengada

Cik cindir-rela. Sudah berapa lama awak bertandang di sini?

Terima kasih.

Saya saja - sengaja - mengada tulis entri eksklusif untuk cik. (;

Wednesday, January 5, 2011

...

Entah kenapa. Sudah 2 kali kepalaku terasa berpinar-pinar di tempat awam. Bimbang juga aku. Jika tumbang, siapa yang mahu angkat?

Ahah. Setiap kali itu aku hanya berdoa. Jangan jatuh.. Jangan jatuh. Dan syukur. Aku tak jatuh. (:

Dan kebelakangan ini juga sudah beberapa kali aku tergelincir di tempat awam. Apakah bunga kasutku sudah haus? Walhal masih baru.

Aku rasa, tidur yang tak menentu aku menjadikan satu bahagian daripada otak ini untuk gagal berfungsi dengan baik. Keseimbangan aku semakin luntur.

Aku perlukan sesuatu untuk mengalihkan perhatian ini. Aku mahu imaginasi. Mahu fantasi. Mahu hidup dalam dunia palsu untuk sejenak. Hanya sebentar. Aku mahu lari daripada realiti ini.

5 a.m.

Bila sudah boleh lena. Dikejut pula. Dan dilarang pula untuk tidur. Alahai~
Aku tak suka menunggu. Tak suka. Betul-betul tak suka. Don't keep popping into my life if that's what you're going to do. I guess we don't have much in common after all. Screw it. I don't care what you want to do anymore.

Saturday, January 1, 2011

Insomnia

Aku...tak tidur hari ini. Dan masih aku segar bugar pagi ini. Aku tak pasti kenapa aku tak mampu untuk tidur. Barangkali badan aku fikir kami di luar negara yang siangnya sini adalah malam dan malamnya sini adalah siang. Ah, apa yang aku hairankan? Aku kan burung hantu?

Sudah beberapa hari. Bermula dengan tidur pada pukul 4. Berlanjutan hingga 6. Kemudian, tidak tidur langsung.

Dan perut aku berkeroncong seiring petikan jarum jam di dinding. Aku lapar. Tapi takut mahu turun sendirian.

Aku tak suka malam hari. Buat aku seram. Buat aku tak boleh tidur. Buat aku nanti esok. Aku hanya suka pemandangan malam saja. Itu sahaja yang aku suka tentang kegelapan yang sementara ini. Hanya itu.