Sunday, February 27, 2011

Cinta sebenar


Ya Azzizul Jabbarul Mutakabbir

Ya Azzizul Jabbarul Mutakabbir

Ya Azzizul Jabbarul Mutakabbir

Baiklah...entri ini sebenarnya entri khas untuk seseorang yang aku tak pasti jika hatinya masih peduli untuk baca blog aku mahupun tidak. Semoga dia membacanya kerana aku sungguh-sungguh tak akan mampu biarkan satu haripun berlalu tanpa merasakan risau akan dia. Ya, awak. Awak yang ada perkataan 'GAIN' tercoret di bahu kiri.

Baik, mari mula.

Kita selalu fikir dan diingatkan tentang azab kubur, azab neraka, azab orang-orang yang melakukan kemungkaran. Seperti yang aku perkatakan, dalam hati semua ada Islam. Maka, bohong jika rasa takut tidak menyusul sesudah mendengar yang sedemikian. Tetapi, perasan atau tidak, bimbang itu tidak kekal. Semua ini kerana Syaitan membisikkan gula-gula kata bahawa umur kau masih panjang, bahawa hidup kau masih lama dan jauh. Justeru, hatipun mudah mengabaikan peringatan-peringatan yang telah diberi kepada kita. Walhal jika dikira, terlalu sekejap masa berlalu. Dan hari ini pun telah menjadi esok. Dan 2 bulan telah pun berlari meninggalkan kita dengan sebegitu pantas.

Hendak dijadikan cerita, suatu hari, aku dinasihati dengan kata-kata yang begitu lembut sehinggakan aku merasakan malu serta sebak menghayati bait-bait hurufnya. Kata-katanya ringkas tapi cukup bermakna dan benar keseluruhannya.

Allah sayangkan kamu lebih daripada sayang kamu akan diri sendiri.

Fikirkanlah. Sesungguhnya kuasa Allah tak akan berkurang kiranya kau enggan menunaikan ibadat kepada-NYA. Sesungguhnya, jika mahu maka boleh diberinya kita sakit yang tak tertanggung oleh diri kita. Sesungguhnya, kiranya mahu, boleh dibuangnya kita kaki dan tangan yang ada. Tapi tidak, Allah sayangkan kita. Diberinya pancaindera sempurna. Diujinya kita dengan pening dan sakit secara berkala. Dimurahkan rezeki agar boleh kita mengisi perut setiap hari. Pakaian pun boleh ditukar ganti. Ibu bapa pun dipanjangkan umurnya lagi. Maka betapa hinanya kita di sisi-NYA? Sedangkan apa yang Allah minta sebagai balasnya, hanya mengaku DIA sebagai Allah dan 5 waktu penuh solat sehari-hari. Maka kenapalah kita tidak bersyukur?

Kita gagal untuk sedar. Allah MAMPU menarik semuanya daripada kita baik secara tiba-tiba mahupun perlahan-lahan. Tetapi tidak diariknya. Mengapa? Kerana sungguh. Percayalah. Allah SAYANGKAN kita lebih daripada sayangnya kita kepada diri sendiri. Sedangkan untuk membelikan hadiah untuk diri sendiri pun masih kita berkira-kira. Tetapi Allah... MasyaAllah... Dia memberi dan memberi dan memberi dan hanya sedikit yang diminta daripada kita.

Dan Allah juga berfirman,

"Allah tidak memberati seseorang melebihi yang terdaya olehnya"
-surah Al-Baqarah, ayat 286-

Pernah Umi berkata kepada aku, jika Allah mengenakan cas wang untuk setiap nafas yang kita tarik ini, bagaimana agaknya? Kiranya begitu, kau berani untuk menghela dan menghembus nafasmu? Kiranya begitu, apa kau rasa kau masih mahu hidup lagi? Sesungguhnya telah Allah permudahkan banyak hal untuk kita. Bilamasa panas, diberiNYA kita tempat untuk berteduh. Bilamasa sakit, diberiNYA kita ubat untuk membantu sembuh. Malah, tanpa izinNYA tak akan kita sembuh. Dan bilamasa kita sedih, diberiNYA hal-hal yang boleh membuat kita kembali gembira. Subhanallah... Maka kenapalah tidak kita bersyukur?

Sesungguhnya terlalu benar kenyataan itu. Allah menyayangi kita. Sangat. Terlalu. Sungguh-sungguh. Tak akan ada lagi manusia yang mampu menyayangi kita melebihi daripada sayangnya Allah kepada kita. Diberinya kita peluang kedua, ketiga sehingga yang ke seratus pun. Dan semuanya langsung tak akan mempengaruhi berapa besarnya kuasa DIA. Dan tidak pula mendatangkan kebaikan yang lebih kepada-NYA melainkan hanya syurga yang dijanjikan untuk kita. Lihatlah. Untuk semua kebaikan yang KITA lakukan. Dan dengan mematuhi suruhan-NYA dan meninggalkan larangan-NYA, natijahnya adalah kembali kepada kita. SYURGA ganjarannya.

Kalau kau mencuri, apa kuasa Allah akan berkurang?

Tidak...

Kalau kau merokok, apa hebat Allah akan pudar?

Tidak...

Malah, kiranya kau murtad sekalipun, Allah dan kuasa-NYA tak akan tergerak. Langsung.

Dan jika kau menunaikan solat 5 waktu sehari semalam, berpuasa, menunaikan zakat dan haji, ia tak akan langsung menambah atau mengurangkan kuasa Tuhan yang maha pengasih itu. Tetapi ganjaran yang dijanjikan, berbalik kepada diri ENGKAU sendiri. Syurga. Rezeki. Hati yang tenang.

Sungguh. Terlalu benar. Allah menyayangi kita lebih daripada sayangnya kita terhadap diri sendiri. Maka tidakkah kita merasakan walau sekelumit malu?

Astaghfirullahalaziim Allazilaailaahaillahuwalhaiyulqayyum wa atubuilaik....

Astaghfirullahalaziim Allazilaailaahaillahuwalhaiyulqayyum wa atubuilaik....

Astaghfirullahalaziim Allazilaailaahaillahuwalhaiyulqayyum wa atubuilaik....

Saya menulis ini bukan untuk marah awak. Sungguh, bukan niat saya macam itu. Saya menulis juga sebagai peringatan kepada diri sendiri. Allah sayangkan kita. Setiap satunya. Jangan sekali-kali putus asa daripada rahmat Allah. DIA maha pengasih. Dan DIA maha pengampun.

Ada Naga Biru pernah beritahu saya, mahu kerja di pelantar minyak. Saya harap, naga itu kejar impian dia. Semua orang boleh bermimpi, tapi untuk menjadikan mimpi itu kenyataan, hanya orang tertentu saja boleh melakukannya. Saya harap, awak akan jadi antara orang tertentu itu. :)

No comments:

Post a Comment

Seperti yang anda memang sudah tahu, ulasan sangat dialu-alukan dalam blog yang tiadaternama ini. Justeru,saya juga harap sekiranya anda sebagai seorang yang tidak bernama untuk memperkenalkan diri kerana kemungkinan saya tertarik dengan ulasan anda dan ingin mengenali siapa anda, ia akan lebih mudah buat saya.Sekian..