Monday, August 17, 2009

Trend Paling Hangat Masa Kini

Klise tajuk masa kini, tajuk yang sering saja mendapat tempat di muka-muka depan akhbar utama. Tajuk yang sering mendapat tempat di blog-blog siber.

Virus Selsema Babi atau lebih sopan lagi Influenza H1N1.

Pandang kiri, pandang kanan, ada saja yang menyarungkan itu yang kita panggil topeng muka bagi mengelakkan diri daripada dijangkiti virus tersebut. Dengan jumlah kematian mencecah 62 orang, sesiapapun berhak untuk bimbang.

Topeng-topeng muka yang sedang laris di pasaran ini juga terdiri daripada pelbagai warna dan rupa. Biru dan hijau tipikal, merah jambu, dan ada juga yang punya corak-corak kartun, untuk menarik minat kanak-kanak barangkali.

Ia sudah menjadi semacam suatu trend. Lebih hebat lagi, ia bukan saja diikuti oleh para remaja tetapi juga golongan dewasa dan warga emas sedunia.

Di kompleks membeli belah, kedai-kedai biasa, sekolah, dan di taman permainan biasa.

Tidak kurang juga gambar-gambar utama di laman-laman web seperti Myspace, friendster, Facebook, Tagged dan banyak lagi. Gah rasanya apabila topeng muka tersarung di wajah.

Walaubagaimanapun, benarkah kita boleh mengelak dijangkiti virus tersebut dengan hanya memakai topeng muka yang semacam bergaya dewasa ini?

Jika anda katakan ya, ternyata anda silap sama sekali.

Wabak Selsema Babi atau H1N1 ini merebak bukan sahaja melalui udara, malah melalui sentuhan. Justeru, tangan anda yang barangkali tersentuh apa-apa barangan yang tercemar dengan virus terbabit hendaklah dicuci dengan segera. Memandangkan kita tidak dapat melihat virus berbahaya ini, kita mesti dan patut mengambil langkah berjaga-jaga dengan membasuh tangan kita sekerap mungkin. Tidak lupa juga kepada sabun antibakteria. (Ala, macam dalam iklan televisyen itu)

Cuci tangan juga tidak memadai. Seperti penyakit-penyakit lain juga, kesihatan kita hendaklah dijaga sebaik-baiknya. Vitamin C yang kita suka sangat kunyah waktu kecil-kecil dulu juga amat berguna pada waktu-waktu seperti ini.

Jika anda mempunyai tanda-tanda seperti:
1.Batuk-batuk
2.Selsema
3.Sakit-sakit sendi
4.Sakit dada atau kesukaran untuk bernafas (tanda paling utama)
5.Demam

Dan semua yang anda alami sewaktu demam biasa, hendaklah anda segera ke klinik berdekatan dan mendapatkan nasihat pakar. Janganlah sengaja mencari nahas ingin ke sekolah juga. Waktu yang sungguh tidak sesuai untuk terasa rajin.

Tuntasnya, bertimbang rasalah dengan orang sekeliling anda. Sarungkanlah topeng muka yang bergaya itu. Siapa tahu? Mungkin saja anda yang membawa penyakit itu ke sana dan ke mari. Dan mungkin saja, anda akan menarik minat mata-mata liar untuk menatap wajah bertopeng anda yang seakan misteri dan 'cool' itu.

Akhir kata, Mari kita sama-sama memelihara kesihatan kita dan berdoa agar semua ini berakhir dengan segera.

No comments:

Post a Comment

Seperti yang anda memang sudah tahu, ulasan sangat dialu-alukan dalam blog yang tiadaternama ini. Justeru,saya juga harap sekiranya anda sebagai seorang yang tidak bernama untuk memperkenalkan diri kerana kemungkinan saya tertarik dengan ulasan anda dan ingin mengenali siapa anda, ia akan lebih mudah buat saya.Sekian..